Mulakan hidup baharu dengan pertanian bandar - Utusan Malaysia

Mulakan hidup baharu dengan pertanian bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha membanteras dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bukan sahaja terhad kepada penguatkuasaan undang-undang di bawah akta-akta yang diperuntukkan, malah turut melibatkan aktiviti rehabilitasi kepada penagih. Usaha sebegini menjadi pelengkap kepada inisiatif yang dilaksanakan di pusat-pusat rawatan dan pemulihan di seluruh negara.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik dari Pusat Asasi Sains dan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah bekerjasama dengan AADK dalam penganjuran bengkel pertanian bandar bersama sekumpulan 60 Orang Kena Pengawasan (OKP) di Klang, Selangor baru-baru ini.

Menurut pensyarah Pusat Asasi Sains UM, Dr. Mahanom Jalil, program tersebut bertujuan memberi pendedahan asas mengenai pertanian bandar kepada golongan yang sering dipinggirkan dalam masyarakat kerana stigma negatif yang ada pada mereka.

“Secara tidak langsung mereka boleh menggunakan ilmu ini bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang,” katanya yang juga penyelaras program.

Dengan bimbingan ilmu keusahawanan selanjutnya, para peserta yang berminat juga boleh menjadi usahawan tani dan mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Ini juga boleh dijadikan jalan bagi membina persepsi positif kepada OKP di mata ahli masyarakat yang lain.

Peserta yang berusia di antara 18 dan 60 tahun itu telah didedahkan dengan kemahiran menanam anak pokok pisang dan cili menggunakan kaedah fertigasi.

Sementara itu, pensyarah Institut Sains Biologi UM, Dr. Rosazlin Abdullah yang turut menjadi tenaga pengajar dalam program itu berkata, kaedah penanaman sebegini amat sesuai untuk pertanian bandar kerana kurang bergantung kepada tanah selain mempunyai peratus tumbesaran yang tinggi kerana bekalan nutrien dan galian yang mencukupi untuk setiap tanaman.

Menariknya, peserta turut didedahkan dengan kaedah penghasilan bioarang daripada bahan-bahan buangan organik termasuk sisa pertanian. Bioarang boleh dijadikan baja bagi membantu tumbesaran tanaman yang ditanam oleh peserta kelak.

Dalam pada itu, Ketua Daerah AADK Klang, Baharudin Ahmad@Nasiman amat tertarik dengan komponen penghasilan bioarang dalam program ini kerana secara tidak langsung mendedahkan peserta mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar oleh setiap ahli masyarakat.

“Komponen sebegini memberi peluang kepada OKP yang mengambil bahagian untuk terus menimba ilmu walaupun telah menghabiskan zaman persekolahan,” katanya.

Program tersebut menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares), dan turut bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Pertanian (CEBAR) UM.

Anak pokok pisang yang dibekal dihasilkan melalui penyelidikan kultur tisu di CEBAR.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Suanita Abdul Ghani di [email protected] atau 03-7969 6981.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×