KUALA LUMPUR 22 Jan. – Tertarik dengan ayat-ayat manis, imej Islamik serta serik dengan lelaki tempatan antara punca wanita di negara ini memilih berkahwin dengan lelaki asing termasuk warganegara Pakistan.
Namun, tanpa mereka sedari lelaki tersebut sudah mempunyai isteri di negara asal tetapi mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk memudahkan urusan perniagaan termasuk mendapatkan lesen serta premis perniagaan.
Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, kebanyakan perkahwinan dengan warga asing hanya mampu bertahan selama tiga tahun, malah ada wanita menjadi mangsa penderaan rumah tangga.
“Daripada 15 kes berkahwin dengan warga Pakistan 10 kes menghadapi masalah selepas tiga tahun dengan tiga kes wanita dipukul manakala dua kes suami meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa sebarang khabar berita.
“Bagi kes dipukul pula kebanyakan wanita memilih untuk berdiam diri kerana bimbang diceraikan terutama bagi wanita yang tidak mempunyai pendapatan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas isu perkahwinan antara lelaki Pakistan dengan wanita tempatan yang didakwa merupakan taktik untuk tinggal di negara ini lebih lama bagi tujuan berniaga.
Jelas Tengku Asmadi, bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan dicadang mewajibkan pasangan yang ingin berkahwin dengan warganegara asing untuk mengikuti kelas motivasi agar mereka diberi khidmat nasihat sebelum meneruskan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Presiden Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar pula memberitahu, wanita perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki asing.
“Mereka perlu fikir panjang kerana selepas berkahwin banyak lagi perkara yang perlu ditempuhi termasuk memastikan anak-anak mendapat taraf warganegara serta kesan sekiranya berlaku penceraian.
“Adakah pihak lelaki memahami produser perundangan negara antaranya mereka perlu bertanggungjawab jika berlaku penceraian termasuk urusan nafkah,” katanya lagi.
Tambahnya, Jabatan Imigresen perlu mengetatkan undang-undang termasuk menjalankan pemeriksaan latar belakang sekiranya warganegara asing ingin berkahwin dengan penduduk tempatan.










