MPS kutip 82 tan sampah Thaipusam - Utusan Malaysia

MPS kutip 82 tan sampah Thaipusam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 JAN. – SAMBUTAN Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves pada setiap tahun menerima kunjungan jutaan penganut agama Hindu.

Pada tahun ini, upacara yang turut menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia itu berlangsung penuh meriah dan warna-warni.

Selama beberapa hari, laluan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari kedua-dua arah bulatan Selayang ke Taman Seri Gombak sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang mengunjungi lokasi perayaan.

Namun di sebalik kemeriahan yang mewarnai perpaduan masyarakat negara ini, sambutan tersebut seperti festival-festival lain di negara ini turut berakhir dengan pemandangan yang ‘menyakitkan’ mata.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi sambutan kelmarin mendapati kawasan di sekitar kuil dan laluan utama di situ dipenuhi sampah-sarap yang dibuang oleh pengunjung.

Plastik bekas makanan, botol minuman dan kertas yang memenuhi bahu jalan menggambarkan betapa masyarakat kita masih kurang prihatin dalam aspek kebersihan.

Selain sikap tidak bertanggungjawab, pengunjung turut menyalahkan pihak berkuasa tempatan yang tidak menyediakan tong sampah yang secukupnya di kawasan tumpuan.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai tidak mempunyai pilihan selain membuang sampah di kawasan umum seperti tempat duduk awam, hentian bas, tandas dan kawasan gerai jualan.

Namun apa jua punca dan alasannya, penyelesaian kepada masalah itu harus dicari kerana acara bertaraf antarabangsa itu boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Sementara itu, sebanyak 82 tan sampah dikutip oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sepanjang sambutan perayaan Thaipusam tahun ini.

Pegawai Penerangan Jabatan Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, jumlah kutipan itu direkodkan selama empat hari yang bermula sejak 18 Januari lalu.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sampah di kawasan itu berlangsung selama 24 jam melibatkan seramai 30 pekerja kontraktor dan 10 kakitangan MPS.

“Sebanyak 100 unit tong sampah jenis tong sampah mudah alih dan 10 tong sampah besar Roll On Roll Off (RORO) disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Operasi pembersihan dibahagikan kepada dua zon iaitu zon A dan B. Pembersihan akan diteruskan sehingga 27 Januari ini bagi memastikan kawasan tersebut bersih sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan, beliau berkata, tindakan itu amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku kerana kemudahan tong sampah sudah disediakan.

“Walaupun MPS bertungkus-lumus membersihkan kawasan ini, kami kesal dengan sikap mereka yang mengambil jalan mudah membuang sampah merata-rata. Ia merumitkan kerja pembersihan dan pemunggahan sampah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×