BEKAS bintang import Kedah, Liridon Krasniqi menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan Melaka United, sekali gus melengkapkan kuota pemain import skuad Sang Kancil di Melaka semalam.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, kehadiran pemain tengah dari Kosovo itu diharap dapat mempertajamkan jentera serangan Melaka United bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) yang membuka tirai pada 2 Februari depan.
Katanya, Liridon atau dikenali sebagai Mat Don merupakan pemain tarikan untuk menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium sekali gus memberi semangat kepada skuad kendalian Zainal Abiddin Hassan nanti.
“Kehadiran Liridon bukan setakat melengkapkan jumlah pemain import Melaka United, malah menamatkan spekulasi pasukan mana yang akan diwakili bekas pemain tengah Kedah itu.
“Kita harap Liridon bakal menjadi faktor tarikan kepada para penyokong untuk memenuhi stadium apabila Melaka United beraksi nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani lima pemain pasukan itu di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Melaka semalam.
Sementara itu, Liridon memberitahu, dia bertekad untuk memberikan persembahan maksimum bersama rakan-rakan sepasukan bagi membina rentak baharu permainan skuad pilihannya itu.
“Fokus saya adalah bersama rakan-rakan sepasukan membantu membentuk skuad ini menjadi sebuah pasukan lebih mantap dalam tempoh sepatutnya. “Saya juga berharap penyokong skuad Sang Kancil akan bersama-sama memberikan semangat yang tidak luntur buat pasukan ini untuk menampilkan aksi lebih optimum,” katanya. Sebelum ini, Liridon digembar-gemburkan bakal menyertai pasukan Pahang mahupun Johor Darul Ta’zim II (JDT II), namun Liridon membuat pilihan menyertai Melaka United selepas mewakili Helang Merah selama empat musim.
Pada majlis itu, Melaka United turut mengikat tiga pemain import lain iaitu pemain pertahanan, Jang Suk-Won dari Korea Selatan, pemain tengah, Darko Markovic (Montenegro) dan penyerang, Anselmo Casagrande (Brazil).
Turut menandatangani kontrak selama setahun ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.










