Manogaran tidak mampu perjuangkan semua kaum - Utusan Malaysia

Manogaran tidak mampu perjuangkan semua kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Jan. – Komitmen dan kemampuan calon DAP, M Manogaran dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands untuk memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama sekiranya beliau menang amat diragui dan boleh dipersoalkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Mat berkata, berdasarkan rekod kenyataan yang dibuat termasuk di dalam Dewan Rakyat ketika Mangoran menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan jelas menunjukkan bahawa perjuangannya hanya untuk masyarakat berketurunan India khususnya Tamil.

Beliau berkata, selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Manogaran telah menubuhkan Malaysia Tamil Sanggam (MTS) pada 11 Mac 2014 dan dalam ucapannya selaku presiden pertubuhan tersebut pada 13 April 2016 telah menghuraikan cita-citanya untuk memperjuangkan kepentingan kaum Tamil ini.

“Kata Manogaran, kaum Melayu, kaum Cina dan sub kaum India lain tidak menghormati kaum Tamil. Katanya lagi, sebanyak 40 peratus daripada semua penjenayah adalah daripada kaum Tamil manakala estet-estet dimajukan dan kita (kaum Tamil) dikejar keluar seperti anjing.

“Malah berdasarkan hansard Parlimen terlalu banyak kenyataannya yang fokus memperjuangkan hak kaum Tamil sahaja. Oleh sebab itulah maka komitmen dan kemampuan Manogaran untuk memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat jika beliau menang dalam PRK Cameron Highlands Sabtu ini sangat boleh dipersoalkan dan sangat perlu diragui,” katanya.

Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, oleh itu, para pengundi di kawasan tersebut wajib menolak Manogaran kerana beliau tidak mempunyai nilai tambah yang mampu membantu rakyat berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramli Mohd. Nor, seorang anak jati yang mempunyai pelbagai kelebihan.

“Kepentingan masyarakat India telah sedia diperjuangkan oleh 13 ahli Parlimen dari kaum India yang mana tujuh daripada mereka adalah terdiri daripada ahli-ahli Parlimen DAP manakala enam daripada mereka pula adalah terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen PKR.

“Tidak cukup dengan itu, dua daripada Ahli-Ahli Parlimen India ini telah dilantik sebagai Menteri, iaitu M Kulasegaran dan Xavier Jayakumar, manakala satu daripada mereka telah dilantik sebagai Timbalan Menteri, iaitu Sivarasa. Ini ditambah pula dengan wakil Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), Waythamoorthy, yang dilantik sebagai Senator dan menteri,” katanya.

Tambahnya, semua ini menunjukkan bahawa kepentingan masyarakat India telah mampu diperjuangkan oleh kerajaan sekarang walaupun tanpa kehadiran Manogaran dalam Parlimen berbanding kepentingan Orang Asli di samping kepentingan seluruh rakyat, yang hanya mampu disuarakan dengan berkesan jika Ramli memang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×