LONDON 13 Jan. – Manchester United membuat kejutan apabila memasukkan nama Gareth Southgate sebagai calon pengurus kerana tidak pasti dapat memikat Mauricio Pochettino yang memberi bayangan akan kekal di Tottenham.
Selepas pemecatan Jose Mourinho sebelum Krismas lalu, Ole Gunnar Solskjaer dibawa masuk sebagai pengendali sementara sehingga hujung musim, dan Pochettino menjadi sasaran No. 1.
Bagaimanapun, United mula beralih tumpuan selepas menyedari jurulatih dari Argentina itu hampir pasti tidak akan ke Old Trafford kerana mempunyai projek yang perlu diselesaikan di London.
Southgate, 48, tiba-tiba menjadi perhatian biarpun dia masih mempunyai kontrak bersama skuad England sehingga Piala Dunia 2022 di Qatar selepas membawa The Three Lions mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.
United enggan mengulas ketika dihubungi Sky Sports, namun ramai yang melihat ia sesuatu yang mustahil untuk melihat Southgate bertukar ‘kapal’ dalam masa terdekat kerana menggalas tugas nasional. – AGENSI










