MALAYSIA tetap jelas pendiriannya tidak akan membenarkan rakyat negara penjenayah Israel memasuki negara.
Itu ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa rakyat Israel tidak patut datang ke Malaysia kerana kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik.
Kenyataan beliau ada kaitan dengan pendirian Malaysia melarang atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal berlangsung di Kuching, bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Jika diteliti, isu kedatangan atlet Israel ke Malaysia bukanlah satu perkara baharu. Saya telah menganalisis polemik ini dalam buku bertajuk, Islam dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, terbitan Penerbit Universiti Malaya (UM) pada 2005.
Hakikatnya, Malaysia pernah menyantuni isu ini dengan cara berbeza apabila menerima kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia untuk menyertai pertandingan Kriket Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Mac 1997.
Alasan kerajaan ketika itu adalah mahu menunjukkan wajah sebenar Islam yang selama ini tertutup ekoran permusuhan yang berterusan Israel dengan negara Arab.
Seperti dijangka, kedatangan atlet Israel itu telah menimbulkan kontroversi. Satu demonstrasi telah berlangsung pada 4 April 1997 di pekarangan Masjid Al-Rahman (berdekatan Universiti Malaya), bagi menzahirkan bangkangan terhadap kemasukan atlet Israel ke Malaysia.
Beberapa orang pemimpin parti politik telah ditangkap dan dipenjara kerana menyertai perhimpunan ’haram’ tersebut. Apa yang menarik, ada dalam kalangan mereka kini memegang jawatan menteri.
Selain itu, satu usul memprotes kedatangan mereka telah dibawa di Parlimen pada 10 April 1997, bertajuk “Pasukan Kriket Israel Menyertai Pertandingan Kriket Antarabangsa di Kuala Lumpur – Penentangan Pas.
Ketika membentang usul itu, Ahli Parlimen Tumpat, Wan Mohd. Jamil Wan Mahmood berhujah kedatangan ditentang atas tiga faktor. Pertama, kedatangan mereka adalah bertentangan dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sepertimana yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Peristiwa tersebut telah mengocak sensitiviti umat Islam kerana kaum Yahudi adalah musuh mereka (umat Islam) yang nyata.
Kedua, menyedari bahawa Israel merupakan satu bangsa yang bongkak dan melakukan pelbagai keganasan dan mendalangi penganiayaan serta kezaliman terhadap umat Islam sejak beratus tahun sehingga kini.
Ketiga, Israel adalah entiti haram yang ditegakkan oleh beberapa kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.
Justeru, Israel dianggap sebagai wakil kepada kuasa-kuasa besar itu untuk memperluas kekuasaan politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Kedatangan mereka dikhuatiri bakal mengundang pelbagai ancaman dan malapetaka dari segi keselamatan dan kesejahteraan ummah di Malaysia khususnya dan rantau Timur amnya.
Dalam hal ini, Pas telah mendesak kerajaan supaya tidak lagi mengeluarkan visa kepada mana-mana warganegara Israel yang datang ke Malaysia dan melarang mana-mana rakyat Malaysia memasuki Israel atas apa jua alasan sekalipun.
Larangan ini termasuk ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan Malaysia daripada mengada sebarang hubungan diplomatik. Usul penentangan Pas berkenaan kemasukan pasukan kriket Israel ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Juhar Mahiruddin kerana dianggap tidak perlu disegerakan.
Alasan beliau ketika itu adalah pasukan tersebut telah kembali ke negara mereka dan desakan untuk tidak mengeluarkan visa datang ke Malaysia sudah tidak relevan.
Apa-apa pun, kita menyokong tindakan tegas kerajaan melarang kedatangan atlet Israel ke Malaysia kali ini. Sejarah mengajar kita.
Justeru, pendekatan menyantuni seperti diambil pada 1997 tidak wajar diulangi kerana ia hanya mengocak sensitiviti. Kita yakin, bukan sahaja umat Islam, tetapi majoriti rakyat menolak Israel atas dasar kemanusiaan dan keadilan sejagat.
DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).











