KUALA LUMPUR – Malaysia sedang berada di landasan yang betul bagi memperbaiki keadaan fiskalnya dalam tempoh tiga tahun dan ini telah disahkan oleh tiga agensi penarafan kredit terbesar antarabangsa, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Moody’s dalam laporan mereka pada Januari 2019 menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh berbanding negara-negara yang mempunyai penarafan A dan kepelbagaian serta kekukuhan ekonomi Malaysia dapat mengurangkan kesan negatif paras hutang yang tinggi.
“Laporan ini dikeluarkan selepas Moody’s pada 7 Disember 2018, memutuskan untuk mengekalkan penarafan kredit kerajaan Malaysia pada taraf A3 berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, pasaran modal dan rangka kerja institusi yang mantap,” kata
Guan Eng dalam satu kenyataan, sambil menambah penarafan kredit Malaysia tidak mungkin berubah dalam tempoh terdekat dan ini akan meyakinkan pelabur serta komuniti perniagaan.
Sebuah lagi agensi penarafan, Fitch Ratings, dalam laporan pada November 2018 yang bertajuk, “Malaysia Budget Balances Wider Deficit with Transparency” menyatakan Bajet 2019 memenuhi sasaran konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana.
Fitch menjangkakan nisbah hutang akan susut dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar secara amnya berkembang pada kadar 4.9 peratus bagi 2019 dan 5.0 peratus pada 2020.
Ia juga telah mengekalkan penafaran kredit Malaysia pada ‘A-‘ dengan prospek stabil
S&P Global Ratings juga memberi ulasan yang serupa dengan catatan bahawa “komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal boleh dipercayai manakala tekanan kewangan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan beransur pulih selepas 2019.
S&P juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A-.
“Agensi-agensi penarafan ini telah melahirkan kebimbangan tentang asas pendapatan yang berkurangan selepas GST dimansuhkan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Kebimbangan ini sedang diatasi dan usaha yang diambil telah dapat dilihat melalui pengutipan cukai langsung pada tahun lepas yang memberangsangkan, ia telah meningkat RM13.7 bilion atau 11.1 peratus dari tahun ke tahun kepada paras tertinggi RM137.0 bilion.
“Ini membuktikan bahawa, bukan sahaja kerajaan berada di landasan yang betul dengan aktiviti konsolidasinya , malahan pada 2018, ekonomi terus merekodkan pengembangan dengan cukai korporat bertambah kepada 51.1 peratus daripada cukai langsung yang dikutip,” kata Guan Eng. – Bernama










