Majlis Raja-Raja pilih tarikh mesyuarat khas - Utusan Malaysia

Majlis Raja-Raja pilih tarikh mesyuarat khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Enam Sultan dan Raja-raja hari ini berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja untuk membincangkan tarikh pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Antara yang berangkat hari ini ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.


Mesyuarat khas Majlis Raja-raja hari ini difahamkan bertujuan memilih tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.


Mesyuarat khas itu selesai apabila kesemua baginda meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.30 tengah hari, hari ini. 


Mesyuarat tersebut diadakan susulan keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa semalam. 


Peletakan jawatan baginda itu selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz. 


Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.


Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XV oleh Majlis Raja-raja bermula 13 Disember 2016. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN