M. Manogaran calon PH bagi PRK Cameron Highlands  - Utusan Malaysia

M. Manogaran calon PH bagi PRK Cameron Highlands 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Piilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan berlangsung pada 26 Januari ini. 

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya optimis calon tersebut mampu membawa kemenangan kepada parti dalam PRK Parlimen Cameron Highlands nanti.

“Kita meletakkan calon yang lama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita tak tahu siapa yang akan bertanding dengan kita tetapi walau siapa pun kita akan dapat mengatasinya, Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di sini sebentar tadi.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah ekoran berlakunya amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Terdahulu, Manogaran dari PKR memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun 2018, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (680 undi). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×