KUALA LUMPUR – Siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS) diteruskan apabila bintang popular Hollywood, Leonardo DiCaprio tampil secara rahsia untuk memberi keterangan berhubung skandal berbilion dolar itu di hadapan hakim Washington DC baru-baru ini.
Menurut laporan Washington Post, aktor terbabit merupakan saksi bagi siasatan itu dan keterangan yang diberikannya adalah bagi membantu siasatan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) berkaitan skandal tersebut.
“Pihak pendakwaan menganggap DiCaprio sebagai saksi yang dapat memberi pandangan yang berguna mengenai pembiaya dari Malaysia, Low Taek Jho yang didakwa telah melakukan penyelewengan selain menggubah berbilion dolar daripada dana pelaburan 1MDB untuk membiayai kempen melobi untuk menamatkan penyiasatan,” kata laporan tersebut.
Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah didakwa di mahkamah AS atas pertuduhan menggubah wang dan mencuri.
Namun, laporan tersebut tidak menjelaskan bagaimana pihak berkuasa membawa DiCaprio ke mahkamah dan bentuk maklumat yang telah disalurkan kepada hakim memandangkan jurucakap aktor berkenaan serta DOJ sendiri enggan mengulas mengenai perkembangan terkini.

DiCaprio merupakan salah seorang selebriti Hollywood yang secara tidak sengaja terlibat dalam skandal 1MDB apabila DOJ mendakwa hartawan dari Malaysia itu pernah membawa DiCaprio bermain judi di Las Vegas selain membayar bilnya.
Jho Low juga dikatakan turut menghadiahkan pelakon itu beberapa lukisan dan mendapatkan dana untuk filem lakonannya, The Wolf of Wall Street.
Seorang model kelahiran Australia, Miranda Kerr turut terheret dalam skandal tersebut selepas Jho Low menghadiahkan barangan kemas bernilai jutaan dolar.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.









