KLANG 9 Jan.- Pemain bola sepak Sarban FC, Khairul Anuar Hashim, 26, yang lemas ketika cuba mengambil bola yang terjatuh di dalam Tasik Eco Ardence, di Setia Alam malam semalam dijadualkan bertunang tahun depan.
Lebih memilukan ibu Allahyarham, Nor Hasimah Shaffir, 58, anaknya itu sudah membuat beberapa persiapan bagi menyunting gadis pilihannya yang berasal dari Johor apabila telah membeli sebahagian daripada barangan hantaran untuk meminang.
“Dia bekerja keras untuk memenuhi impiannya dan pada masa sama kini melanjutkan pelajaran secara separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Bakal tunangnya terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian ini dan dia kini menunggu Kampung Tembun, Jelebu, untuk persiapan pengebumian arwah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










