PETALING JAYA – Seorang perekrut pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang peragut pada Julai dua tahun lalu.
Mohammed Shawqi Ahmed Zawqari, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff tadi.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Yemen itu didapati memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kematian Mohamad Azizi Abdul Azis, 27, di hadapan Bangunan One South, Seri Kembangan di sini pada 30 Julai 2017 pukul 2.51 pagi.
Ketika kejadian, Mohamad Azizi berusia 25 tahun.
Dia dihukum mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan lebih RM20,000.
Media melaporkan sebelum ini, kejadian itu berlaku ketika tertuduh sedang minum di sebuah restoran berhampiran sebelum begnya diragut mangsa yang melarikan diri dengan sebuah motosikal Yamaha Y15Z.
Dia kemudiannya bertindak mengejar mangsa dengan kereta jenis Proton Preve sebelum melanggarnya di tempat kejadian.
Akibatnya, mangsa mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala selepas dikejar kira-kira tiga kilometer dari tempat dia meragut. – K! ONLINE










