Larangan merokok: 28 diberi amaran - Utusan Malaysia

Larangan merokok: 28 diberi amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 4 Jan. – Sebanyak 28 perokok tegar diberi amaran kerana melakukan kesalahan merokok di premis makanan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan selama tiga hari bermula 1 Januari lalu.

Selain itu, sebanyak 169 pemilik dan pengusaha kedai makan daripada 272 buah yang diperiksa di tiga daerah di negeri ini telah diberi notis kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, sepanjang tempoh tiga hari itu juga, sebanyak 1,935 keping risalah antimerokok diedarkan kepada para pengusaha kedai makan di seluruh negeri.

“Daripada 28 orang perokok yang diberi amaran itu, sebanyak 21 daripadanya melakukan kesalahan merokok dalam premis makanan di sekitar daerah Jasin, tujuh di Melaka Tengah manakala tiada kes di Alor Gajah.

“Walaupun rata-rata perokok kini sudah maklum larangan tersebut yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini, tetapi kita dapati tahap kesedaran pengusaha tentang usaha meletakkan tanda larangan merokok masih agak rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi pemeriksaan kempen larangan merokok di premis makanan yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di Jalan Hang Tuah, di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Inspektokrat dan Perundangan JKN, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif.

Operasi selama dua jam itu melibatkan seramai 20 anggota dan pegawai PKD Melaka Tengah dan JKN Melaka bermula pukul 3.30 petang memeriksa lebih 20 premis makanan di sepanjang jalan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN