KEMAMAN 4 Jan. – Pejabat Kesihatan daerah ini mengeluarkan 136 notis amaran di premis makanan yang masuk hari ketiga penguatkuasaan larangan merokok, hasil lawatan ke 230 premis di daerah ini semalam.
Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 234 risalah dan nasihat kepada individu turut diberikan.
Pada masa sama, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman turut mempergiatkan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di kawasan larangan merokok yang lain.
“Adalah diharapkan, dengan perluasan kawasan larangan merokok ini, masyarakat dapat menolak budaya merokok di khalayak ramai dan semakin ramai perokok akan berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

NUR MAISARA (kiri) dan Mahalia Aqilah ketika ditemui di Dinnie Kopitiam semalam. – UTUSAN ONLINE/ MUKHATAR A. RAHMAN
Tambahnya, perkhidmatan berhenti merokok turut disediakan di Klinik Kesihatan Batu 2 ½ Jalan Air Putih dan mana-mana individu yang ingin mendapat khidmat nasihat berkaitan berhenti merokok, mereka boleh mengunjungi klinik tersebut setiap pagi Khamis.
Sementara itu Mohd. Anuar berkata, Ketua Penolong Pengarah Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri, Jaafar Sulong turut membuat lawatan di daerah ini bagi memantau dan meninjau pelaksanaan aktiviti kempen ‘educational enforcement’ (penguatkuasaan pendidikan) yang dilaksana di peringkat daerah Kemaman.
“Sempena kempen ini beliau bersama anggota unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Kemaman telah melawat beberapa premis makanan di kawasan berdekatan Jalan Hospital bagi menentukan pematuhan arahan pemasangan papan tanda larangan merokok dan kepatuhan larangan merokok.
Sempena lawatan ini juga beliau telah membuat mini pelancaran dengan menampal papan tanda larangan merokok di premis dan sesi bergambar bersama pengusaha premis sebagai tanda sokongan kempen ini.
“Sementara itu seorang pelajar, Mahalia Aqilah Mat Harun, 18, menyokong hasrat kerajaan melarang merokok di semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) dan mereka perlu mematuhi arahan ini.
“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran-restoran tertentu sahaja,” katanya.
“Pendapat beliau turut disokong oleh rakannya, Nur Maisara Zainal, 18,.
Nur Maisara berkata, masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka. – UTUSAN ONLINE










