KUALA LUMPUR 23 Jan. – Majlis Perbandaran Subang Jaya akan melaksanakan kutipan sampah pukal secara percuma sempena Tahun Baharu Cina di kawasan seliaannya.
Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan bermula dari 28 Januari sehingga 8 Februari ini.
“Perkhidmatan kutipan sampah pukal ini akan dilakukan mengikut jadual kutipan sampah domestik di kawasan masing-masing melalui permohonan yang dikemukakan oleh penduduk.
“Penduduk yang berminat dikehendaki mengemukakan permohonan tersebut dengan menghubungi Jabatan Pengurusan Alam Sekitar MPSJ di talian 03-80263182, 03-80264363, 03-80267430, 03-80267431 atau 03-80267433,” katanya.
Menurut Azfarizal, penduduk yang telah membuat permohonan dikehendaki meletakkan sampah pukal di hadapan rumah mereka bagi memudahkan pihaknya melakukan kutipan secara berperingkat.
“Perkhidmatan ini hanya dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan dan MPSJ tidak akan melaksanakan kutipan selepas tamat tempoh yang dinyatakan.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi nombor talian berkenaan atau melayari laman web www.mpsj.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE










