Kualiti kena setanding harga - Utusan Malaysia

Kualiti kena setanding harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 22 Jan. – Bekas penyerang sensasi kebangsaan era 70-an, Syed Ahmad Syed Abu Bakar,73, menyifatkan gaji pemain yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM70,000 sebagai tidak berbaloi dan sepadan dengan mutu permainan ditunjukkan.

Beliau menasihatkan persa­tuan-persatuan agar tidak terlalu ghairah membayar gaji tinggi yang akhirnya memakan diri kerana tidak mampu melunaskannya.

Syed Ahmad memberitahu, ketika zamannya yang pernah mewakili Johor, Pulau Pinang dan Perak, dia hanya memperoleh elaun sekitar RM10 setiap perlawanan, malah siapa yang me­nerima gaji RM1,000 pada masa itu dikira sudah cukup tinggi.

“Tapi cuba lihat bagaimana mutu permainan pemain pada masa itu khususnya apabila ber­aksi untuk skuad kebangsaan. Zaman sekarang, gaji sahaja tinggi tetapi tidak ke mana.

“Saya nasihatkan persatuan apabila menawarkan gaji, berilah yang setimpal dengan kemampuan. Buat apa tawar tinggi jika akhirnya terpaksa berhutang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun pengurus pa­sukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mempunyai pandangan berbeza apabila menganggap menawarkan gaji tinggi untuk mendapat khidmat pemain bertaraf bintang adalah lumrah dalam era bola sepak moden.

Begitupun katanya, PKNS menetapkan tiga kriteria utama dalam mencari pemain bintang iaitu sumbangan mereka kepada bekas majikan, dan bukan berdasarkan populariti semata-mata.

“Biasanya banyak perkara dipertimbangkan. Pertama, pemain yang dimahukan mesti menepati cara dan strategi jurulatih, selepas semua pihak bersetuju, kami akan berusaha mendapatkan pemain tersebut.

“Kita meletakkan penanda aras berdasarkan kadar pasaran semasa. Kami juga perlu melihat sumbangan pemain itu kepada pasukannya sebelum ini.

“Selepas itu, kita lihat harga yang diberikan berbaloi atau tidak. Kami berunding kepada harga yang kami mampu,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gaji pemain yang terlalu tinggi, selain keghairahan pasukan-pasukan mendapatkan nama besar antara punca utama isu tunggakan gaji terus membelenggu Liga M.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN