KUALA LUMPUR 5 Jan.- Seorang kontraktor kerugian hampir RM3,000 selepas rumahnya dipecah masuk dalam satu kejadian di Jalan 8/11 Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu hanya disedari mangsa dan isterinya selepas mendapati ruang tamu rumah mereka berselerak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil pemeriksaan beberapa barangan miliknya seperti sebuah kamera, televisyen LCD (1), komputer riba (1) dan telefon bimbit (1) dilarikan.
Ujarnya, selain barangan itu, wang syiling di dalam tabung bernilai RM400 turut lesap.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek terbabit telah masuk ke rumah mangsa dengan memecahkan kunci mangga di pintu grill dan mengumpil pintu sliding.
“Bagaimanapun, tiada kesan cap jari ditemukan di tempat kejadian mungkin kerana suspek menggunakan sarung tangan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Samsor, ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan tiga orang anaknya berusia empat sehingga lapan tahun sedang tidur di tingkat atas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE









