Kilang perabot bernilai lebih RM1 juta musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Kilang perabot bernilai lebih RM1 juta musnah dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH – Sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Kampung Baru di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi mengakibatkan kerugian bernilai lebih RM1 juta.

Kebakaran dipercayai berlaku pukul 11.40 pagi ketika kira-kira 20 pekerja warga asing sedang melakukan kerja-kerja membuat sofa.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya terima panggilan pada pukul 11.47 pagi dan api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit kemudian.

Katanya, hampir 80 peratus struktur serta barang dalam kilang berkenaan hangus dijilat api.

“Sebaik tiba, kita dapati api sudah merebak dan semua pekerja kilang berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

“Kita mengalami sedikit kesukaran ketika memadamkan api berikutan banyak barang mudah terbakar seperti kayu dan papan di dalam kilang berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya lagi, beberapa buah kereta turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Kilang itu berdekatan dengan bengkel kereta dan kita percaya kereta yang diletakkan berhampiran kilang itu milik bengkel berkenaan.

“Setakat ini, operasi masih berjalan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN