ALOR SETAR 3 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melancarkan tabung khas bagi menampung kos guaman membawa kes penyerang kebangsaan, Muhammad Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Laman rasmi Facebook badan induk bola sepak Kedah itu dalam satu hantaran petang ini menyebut, TABUNG CAS KFA itu ditubuhkan bagi menyokong tindakan pengurusan membawa kes Muhammad Akhyar ke CAS.
Orang ramai khususnya rakyat negeri itu yang ingin membuat sumbangan boleh menyalurkan melalui akaun CIMB bernombor 8006418121 atas nama Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman secara dalam talian atau cek.
Laman berkenaan turut memaklumkan, sebarang surat-menyurat berkaitan perkara itu boleh dimajukan melalui emel [email protected].

Semalam, Menteri Besar yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, KFA tetap akan mengheret kes Muhammad Akhyar ke CAS bagi mendapatkan keadilan berhubung kemelut yang berlaku kepada skuad Lang Merah.
Tindakan itu juga ekoran tidak yakin dengan sistem rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini yang hanya berbincang dengan Akhyar dan membuat keputusan tanpa melibatkan KFA.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris yang dipetik berkata melalui sebuah portal dalam talian memaklumkan, tabung tersebut sebagai meringankan beban kewangan pihak terlibat dalam isu itu.
“Saya yakin itu tidak menjadi masalah, seorang seringgit pun jadilah. Syarikat pun banyak yang nak bantu sebab kita mahu mendedahkan wujudnya lompong dalam sistem bola sepak kita yang harus diketahui umum dan perlu diperbaiki.
“Soal kalah atau menang perkara kedua. Perkara paling utama ialah integriti dan telus dalam menguruskan hal-hal berkaitan bola sepak. Perlu diingat, bola sepak bukan milik mana-mana individu, tetapi ia adalah milik rakyat dan harus dikembalikan kepada rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










