Kena pukul gara-gara buang sisa makanan kucing - Utusan Malaysia

Kena pukul gara-gara buang sisa makanan kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 56 tahun dibelasah oleh dua jirannya gara-gara membuang sisa makanan kucing dari rumahnya di tingkat satu Flat Cempaka D, Seremban 2 dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengahari itu, mangsa dibelasah oleh dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 20 tahun dengan menggunakan sebatang rotan dan penyangkut baju.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban petang semalam.

“Berdasarkan aduan diterima, dua suspek yang merupakan jiran mangsa datang ke rumah mangsa dengan membawa sebatang rotan. 

“Suspek terus marah dan pukul mangsa, manakala seorang lagi suspek memukul mangsa menggunakan penyangkut baju,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hock Poh berkata, mangsa mengalami sakit-sakit pada anggota badan akibat dipukul dengan rotan dan penyangkut baju.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan pengadu membuang sisa makanan nasi kucing ke bawah blok rumah dan terkena pada kereta jirannya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Kejadian itu diselesaikan oleh pihak terbabit secara baik dan mereka diberi nasihat serta teguran oleh polis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN