KUALA LUMPUR 13 Jan. – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli menyambut baik cadangan draf resolusi dalam Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Berlandaskan Semangat Bekerjasama dan Keusahawanan 2019 yang disediakan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Menurut Mohd. Hatta, cadangan draf resolusi itu akan dimaklumkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof sebelum dibincangkan mengikut sektor yang penting kepada ekonomi negara.
“Kita berharap draf resolusi ini praktikal untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing koperasi selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam kalangan ahlinya.
“Cadangan resolusi ini juga diharap membantu mempercepatkan rangka polisi dan dasar kerajaan baharu kerana kita telah diberi mandat untuk menghasilkan 50,000 usahawan,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup konvensyen tersebut di Hotel Tenera dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pembangunan Usahawan, Muhammad Razman Abu Samah dan Naib Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron.
Hadir sama ialah Presiden Angkasa yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamaruddin Ismail dan Naib Presiden Angkasa, Mohammad Azmi Omaruddin. -UTUSAN ONLINE










