KUALA LUMPUR 25 Jan. – Malaysian Football League (MFL) bersedia untuk melaksanakan peraturan kawalan ekonomi seperti yang dipraktikkan oleh La Liga dalam usaha menangani masalah kewangan yang dihadapi pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, kawalan ekonomi yang digunapakai oleh La Liga sejak 2012 telah terbukti berjaya menghapuskan hutang majikan ke atas pemain.
Selepas peraturan itu diperkenalkan, La Liga berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan

bertanding sebanyak 90 juta euro (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada 2017, sekali gus menyelesaikan kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.
Justeru, Yusoff percaya sistem itu yang turut menarik minat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dapat membantu pasukan Liga Malaysia dalam memahami peraturan dan menimba ilmu baharu dalam pengurusan kewangan.
“Dengan cara ini, sistem kawalan ekonomi La Liga berjaya mengurangkan jumlah hutang daripada 340 kes pada 2012 dan menjadi sifar pada 2017 di mana pasukan terlibat berjaya melangsaikan hutang mereka dalam tempoh lima tahun.
“Pada 2012, beberapa pasukan daripada 42 kelab La Liga berdepan status bankrap tetapi dengan melaksanakan sistem kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kemampuan kewangan.
“Dengan mengenakan kawalan ekonomi, setiap pasukan perlu membentangkan jumlah kewangan yang mereka ada untuk bertanding dengan kontrak penajaan yang sah dan bukannya ‘atas angin’ atau dengan erti kata lain perjanjian secara lisan.
“Setiap perbelanjaan pasukan akan dikawal termasuk pembelian pemain. Sebagai contoh, meskipun mereka mempunyai dana RM50 juta, tapi mereka hanya dibenarkan berbelanja sebanyak RM20 juta bagi memastikan kewangan stabil untuk musim seterusnya,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Selain Yusoff, seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah MFL merangkap Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut berada di Madrid untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada wakil MFL yang mengikuti bengkel selama tiga hari di Ibu Pejabat La Liga itu.











