SEREMBAN – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Bukit Kepayang di sini, berjaya diselamatkan anggota bomba selepas kakinya tersepit pada jeriji longkang di sekolah berkenaan, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa dikatakan baharu tiba di sekolah dan berjalan di atas jeriji besi longkang tersebut sebelum kaki kirinya termasuk di celah jeriji berkenaan.
Berikutan itu, mangsa terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam sebelum anggota bomba tiba mengeluarkan kakinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohammad Asree Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas daripada pihak sekolah bagi membantu pelajar itu pada jam 7.10 pagi.
“Seorang pegawai dan tujuh anggota telah diarahkan ke lokasi kejadian.
“Mereka menggunakan peralatan khas iaitu spreader merenggangkan jeriji besi dan mengeluarkan kaki mangsa. Operasi hanya mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan pelajar tersebut telah masuk ke kelas seperti biasa. – Bernama










