KUANTAN 21 Jan. – Jumaah Pangkuan Diraja Negeri dijadual mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan tentang persiapan istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang yang baharu berikutan pelantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Sultan Pahang Keenam.
Satu sumber yang rapat dengan Istana Pahang memberitahu, mesyuarat itu dijadual diadakan pada pukul 11 pagi di bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan dekat sini.
Katanya, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah sendiri.
“Mesyuarat itu juga dijangka membincangkan tentang persiapan-persiapan yang perlu dilakukan jika Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Ini termasuk soal pelantikan Pemangku Raja Pahang,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










