Jarang ke sekolah kerana bapa tidak berduit - Utusan Malaysia

Jarang ke sekolah kerana bapa tidak berduit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 24 Jan. – Hanya kerana bapa tidak mempunyai wang untuk mengisi minyak motosikal menyebabkan dua anak terpaksa tidak ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran sebagaimana kanak-kanak lain.

Nik Muhammad Zulkifli Nik Aziz, 12, dan Nik Muhammad Azri, 9, terpaksa reda dengan keupayaan ibu bapanya yang kini menumpang tinggal di sebuah pondok buruk dalam kebun getah di Kampung Alor Pasir, dekat sini.

Keadaan ruang dapur pondok keluarga miskin di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan.
Keadaan ruang dapur pondok keluarga miskin di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan. 

Menyedari kehadiran mereka ke sekolah merosot sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini, Kelab Kebajikan Staff Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh (Lelaki) menjejaki tempat tinggal keluarga itu selepas derma kilat dilancarkan untuk meringankan bebanan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Guru Besar sekolah itu, Ahmad Sabri Yusof berkata, kelab berkenaan telah menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai bagi membolehkan dua murid itu hadir ke sekolah.

“Program Cakna dan Prihatin Murid ini sekurang-kurangnya akan meringankan bebanan ibu bapa hasil sumbangan ikhlas guru-guru dan kakitangan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Sabri berkata, berdasarkan rekod sekolah, bapa berkenaan adalah golongan miskin tegar dengan pendapatan yang tidak menentu.

Bapa murid itu, Nik Aziz Nik Wail, 45, ketika ditemui berkata, penyakit buasir peringkat kronik menyebabkan dia tidak berupaya melakukan kerja berat untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarganya.

“Sebelum ini saya mengambil upah menghantar kuih-muih peniaga ke Pasar Besar Lama Pasir Puteh menggunakan sebuah beca buruk tetapi disebabkan buasir saya tidak mampu kerja lagi,” katanya.

Nik Aziz Nik Wail bersama isterinya, Rahmah Hussin, 48, di pondok tumpangannya di Kampung Alor Pasir
Nik Aziz Nik Wail bersama isterinya, Rahmah Hussin, 48, di pondok tumpangannya di Kampung Alor Pasir 

Menurutnya, dia menanggung tujuh orang anak termasuk dua masih bersekolah dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun.

“Malu nak menceritakan perihal kehidupan kami yang mendapat belas kasihan orang ramai termasuk pemilik kebun getah yang membenarkan kami mendiami pondok ini.

“Ada ketikanya kami terpaksa mengikat perut kerana kehabisan makanan dan tidak memiliki wang untuk membelinya,” katanya.

Pembaca yang ingin membantu boleh menderma menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03015-41-00020206-7 atas nama Nik Muhammad Shah Azri bin Nik Aziz. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×