KUALA LUMPUR 23 Jan.- Jawatan penting negara wajib dilantik dalam kalangan individu yang bukan sahaja berilmu dan berpengaruh tetapi juga mempunyai kehebatan integriti yang tinggi dan bermaruah mulia.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, di negara barat yang lebih maju, pelantikan jawatan penting seperti menteri Kabinet, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan lain-lain jawatan penting ditapis secara khusus oleh jawatankuasa yang dilantik oleh badan tertinggi.
Malah jelasnya, jawatankuasa tersebut turut menilai sikap dan perangai sehinggakan ketika bangku sekolah untuk seseorang itu diluluskan jawatan kerana aspek maruah turut diambil kira tidak hanya integriti.
“Barat yang telah merudum moralnya tetap menjaga tahap kehormatan, maruah dan integriti sesiapa yang memegang jawatan yang penting. Tiba-tiba kita yang kononnya sangat bergurukan barat itu meninggalkan konsep jati diri bangsa timur yang sangat berakhlak dan bermaruah ini.
“Kita wajib sedar di mana bumi kita berpijak, di bumi Malaysia yang bersifat seni ketimuran agama dan budayanya. Kalau yang tua berada di England atau Amerika Syarikat pun malu untuk menari dalam usianya yang tua, maka janganlah kita lebih barat daripada barat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, walaupun melakukan perkara yang menjatuhkan maruah seperti mabuk arak itu ada yang dihalalkan oleh beberapa agama bukan Islam, namun kalau melakukannya tetap dianggap rendah maruah sehingga menjadikan seseorang itu tidak dihormati dan disegani.
“Tujuan melantik dalam kalangan yang tinggi maruah dan integriti itu kerana perlukan kehormatan masyarakat umum, boleh diberi kepercayaan menegakkan konsep keadilan secara konsisten di atas jalan yang betul dan cara yang tepat serta keputusannya dipercayai dan dihormati.
“Pelantikan bukan sahaja dilihat dari sudut kelayakan ilmunya sehingga gelaran yang arif lagi bijaksana, bahkan integriti dan maruahnya juga disebut yang mulia kerana dihormati ketinggian akhlak dan maruahnya. Arifnya sahaja tidak berharga, kalau maruahnya tidak budiman dan dihormati masyarakat umum,” katanya.
Sementara itu, jelas Abdul Hadi, masyarakat barat yang bebas juga tidak mengizinkan sesiapa yang dipertanggungjawab membuat keputusan yang adil dan telus boleh berhubung bebas dengan masyarakat umum yang jelas boleh mempengaruhi kewibawaannya.
“Jika keadaan ini berlaku di barat, sudah pasti akan ada yang meletakkan jawatan. Persoalannya, adakah kita akan menyaksikan hal yang sama di negara kita yang sangat tinggi nilai budaya dan tatasusila?,” soalnya.-UTUSAN ONLINE.










