Jangan mudah leka - Utusan Malaysia

Jangan mudah leka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 30 Jan. – Jurulatih sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada anak-anak buahnya bahawa kemenangan tidak hadir dengan mudah, selepas Red Devils terikat 2-2 menentang Burnley sekali gus meleburkan rekod kemenangan enam kali berturut-turut sejak mengambil alih pasukan itu.

Kemenangan hampir berpihak kepada Burnley apabila mendahului dengan kedudukan 2-0, bagaimanapun, nasib ternyata menyebelahi United setelah berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki tiga minit untuk tamat.

“Kemenangan boleh mengundang bahaya kerana anda mungkin fikir kami boleh bermula dengan baik, bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku. Hari ini kami tidak bermula dengan bagus untuk memberi masalah kepada Burnley,” kata Solskjaer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan seri itu menyebabkan United ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang berada di tangga ke­lima. Dalam perlawanan tersebut, skuad bimbingan Solskjaer dilihat sukar menembusi pertahanan Burnley.

“Kami tahu mereka (Burnley) ber­ma­in dengan tersusun dan gembira ji­ka kami melakukan hantaran lintang. Kami perlu mempelbagaikan rentak permainan dan beraksi lebih laju serta bermain dengan cara kami ketika dalam kawasan penalti,” ujar warga Norway itu.

Sekalipun diikat keputusan seri, Solskjaer yang mengambil alih pasukan selepas Jose Mourinho dipecat, Disember lalu, masih tetap menghamburkan pujian kepada para pemainnya kerana berjaya bangkit daripada ketinggalan.

“Saya dihampiri ramai staf (selepas tamat perlawanan), semua orang cakap semangat juang yang bagus dan cara mereka bangkit cukup menakjubkan dan sudah pasti saya gembira dengan satu mata, namun, kami sepatutnya boleh mendapat tiga mata di hujung permainan, tetapi masa tidak mencukupi,” jelasnya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini