Jaga postur elak sakit belakang - Utusan Malaysia

Jaga postur elak sakit belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kira-kira 80 peratus golongan dewasa mengalami kesakitan pada bahagian bawah belakang badan dalam hayat mereka. Salah satu punca masalah sakit belakang yang berkaitan kerja adalah posisi duduk yang tidak betul.

Pakar tulang belakang dan pengasas Chris Leong Method (CLM), Datuk Dr. Chris Leong berkata, postur badan yang baik penting untuk kesihatan dan kesejahteraan individu. Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai postur badan yang lemah atau mengalami sakit belakang. Punca utama ialah posisi duduk yang tidak betul atau badan condong semasa mengguna komputer.

“Sakit belakang ialah rasa sakit, ketegangan otot atau kaku (stiffness) di mana-mana bahagian belakang tubuh. Ia mungkin menjalar ke bahagian punggung atau kaki. Sakit belakang boleh diklasifikasi kepada peringkat akut, kronik dan berulang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pendakap bahagian belakang badan dan pembetul bahu Kiper Essentials. Produk tersebut melatih semula otot supaya mengekalkan kedudukan tegak tanpa banyak usaha dan menguatkan bahagian atas dan bawah belakang badan serta bahu.

Tambah beliau, isu-isu berkaitan kesakitan bahagian belakang dan ketidakselesaan tulang belakang adalah perkara biasa. Kebanyakan daripada kita menga­lami masalah sakit belakang disebabkan pelbagai sebab termasuk duduk dalam kedudukan yang tidak betul, kemalangan kecil di gimnasium dan mungkin skoliosis.

Pendakap bahagian belakang badan direka untuk menjadikan tempat duduk pengguna bersifat ergonomik, menggalakkan kedudukan duduk yang lebih sihat bagi manfaat tulang belakang dan membantu melegakan sakit belakang selepas menggunakannya. Sementara itu, pembetul bahu yang pertama direka oleh pakar ortopedik di Malaysia membantu menjajarkan bahagian bahu ke posisi semula jadi dan menghalang pembongkokan. Sungguh pun kedua-dua produk direka untuk digunakan secara bersama, namun ia juga boleh digunakan secara berasingan, bergantung kepada keperluan pengguna.

Tambah Dr. Chris Leong, orang ramai boleh mencegah sakit tulang belakang dengan memastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau semasa melakukan aktiviti seharian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN