BAGAIKAN satu kedatangan semula, itu cara yang dilakukan oleh Izzue Islam bagi menyambut kehadiran tahun baharu. Tidak mahu lagi mengenang semula kepahitan yang berlaku selama ini, dia mahu terus meninggalkan segala ‘kesakitan’ lalu selama-lamanya.
Bukan mudah sebenarnya untuk berdiri tegak tanpa sebarang halangan. Apatah lagi hidup sebagai orang yang dikenali, tidak semua insan yang ditemui benar-benar ikhlas mahu membantu mewarnai perjalanan seninya.
“Memang banyak dugaan yang saya lalui sepanjang tahun lalu. Daripada hal peribadi sehinggalah kerjaya memberikan pengajaran berharga buat saya. Apa yang pasti saya hanya menjalani kehidupan dengan apa adanya.
“Tidak semua yang kita lakukan akan diterima. Namun di sebalik perbezaan pendapat itu, saya ambil keputusan untuk membiarkan sahaja mereka berkata-kata. Nanti bila dah letih mereka akan diam,” tegasnya.
Walaupun sudah lali dengan permainan segelintir peminat dalam media sosial, Izzue sebenarnya masih berhadapan dengan segelintir pihak yang kurang senang terhadap dirinya.
Ada sahaja kecaman, sindiran dan kata-kata pedas yang diterima jika namanya terkait dalam sesuatu isu besar. Itu sikap kejam sebahagian warganet yang tidak tahu hujung pangkal cerita.
Umum masih mengingati bagaimana suhu bertambah panas apabila dia mengumumkan keluar daripada kumpulan Forteen dua bulan lalu. Ada yang terus menghukum dirinya sebagai orang yang bersalah dengan pelbagai tuduhan jahat.
Tak kurang juga yang mengaitkan nama isterinya, Awin. Tuduh mereka, wanita berkenaan juga patut dipersalahkan sekiranya nama Izzue terpalit dengan apa sahaja kontroversi selama ini.
“Memang saya sedar perkara itu sering dibangkitkan sejak dahulu lagi. Padahal isteri saya tidak sepatutnya dilibatkan dalam kontroversi yang sedang dihadapi.
“Kalau ada apa-apa isu sekalipun, carilah saya untuk selesaikan apa yang patut dan bukannya mengaitkan nama isteri sekadar mahu mencari punca dan meletakkan kesalahan semata-mata,” tegasnya.
Mengaku suara kurang sedap
PERNAH terasa hati dengan komen negatif yang dilemparkan, Izzue bagaimanapun enggan menjeruk rasa. Dia memilih untuk tidak menjejaskan emosi sendiri.
“Memang benar ada kalanya saya terasa hati dengan komen yang mereka berikan. Biasanya saya akan memadamkan terus komen negatif berkenaan atau menyekat akaun mereka.
“Apa sahaja yang mereka katakan tidak semestinya benar. Sebelum menjadi pergaduhan dalam kalangan peminat, biarlah saya sekat mereka. Itu lebih baik,” tambahnya.
Pun begitu antara perkara kerap kali menjadi perdebatan termasuklah pertikaian mengenai suaranya. Ada yang berterusan mengecam tona suara dan ada yang menuduh dia tidak boleh menyanyi.
Meskipun perkara tersebut bukanlah perkara baharu dan bagaikan ‘siaran ulangan’, dia tetap menerima komen yang mempertikaikan kebolehannya sehingga ke hari ini.
“Sejak dahulu lagi saya sedar tentang perkara ini. Suara saya tidaklah sesedap penyanyi lain yang dianugerahkan kebolehan itu. Tapi kalau berterusan mempertikaikan perkara itu, apa tujuan mereka?
“Sebagai langkah selamat lebih baik saya tidak melayan kata-kata mereka. Biarlah apa sahaja yang mereka nak kata, yang penting saya tahu apa yang patut dilakukan,” katanya.
Teorinya mudah, asalkan peminat setianya suka dan dia melakukan semua itu (nyanyian) untuk dirinya sendiri, itu sudah memadai.
Izzue juga tidak mahu terburu-buru membuktikan kepada mereka yang mengata kerana itu bukanlah tujuan utamanya. Jelasnya, biarlah dia terus menghiburkan orang yang menghargai daripada berlawan dengan yang membenci.
“Kalau saya dengar kutukan mereka, mungkin saya tak mampu nak berada pada tahap ini. Dalam usia sekarang lebih baik saya mencuba dan mencari peluang apa adanya.
“Berlakon sudah, menyanyi pun sudah. Sekarang saya cuba untuk menjadi pengacara rancangan televisyen dan menyertai pertandingan lawak. Tak salah mencuba semua,” tambahnya.
Berdebar
BARU sahaja muncul dengan filem XX Ray III pada 24 Januari lalu, Izzue menganggap naskhah berkenaan telah memberikan kelebihan kepadanya untuk terlibat dalam sekual filem yang diminati ramai.
Membawakan watak Rayyan sebagai seorang pelajar yang gemar mengkaji bintang dan makhluk asing, ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan dia perlu menghafal fakta berkaitan dengan ilmu astronomi.
“Nampak mudah tapi pada dasarnya tidak! Bila diberikan sahaja skrip saya tahu ia menuntut kefahaman yang tinggi. Fakta demi fakta yang ada perlu difahami sebelum boleh melontarkan dialog.
“Untungnya Aziz M. Osman selaku pengarah banyak memberikan idea dan tunjuk ajar semasa penggambaran. Jadi perkara proses penggambaran tersebut tidaklah menjadi terlalu sukar,” ujarnya yang menjalani penggambaran di Melaka dan Jordan.
Selain Izzue, pelakon lain yang turut membintangi XX Ray III termasuklah Ardell Aryana, Datuk Jalaluddin Hassan, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Nonny Nadirah dan Ashraf Muslim.
Filem ini adalah sekual kepada XX Ray yang pernah ditayangkan pada 1992 dan XX Ray II (1995).










