KUALA PILAH 14 Jan. – Semangat setia kawan antara kaum perlu dipupuk dan digalakkan lebih awal kepada generasi muda negara hari ini.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, ia boleh disemai melalui aktiviti sukan fizikal dan permainan yang berasaskan intelek seperti catur dan e-sport serta aktiviti kokurikulum iaitu Persatuan Pengakap, Pandu Puteri dan Bulan Sabit Merah.
“Melalui pemerhatian beta, pada masa ini tahap hubungan sosial antara kaum amat rendah jika dibandingkan dengan era 30 atau 40 tahun dahulu.
“Ia dapat dilihat dengan jelas terutama dalam kelab-kelab sosial atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tertentu iaitu hanya sesuatu kaum mendominasi keahlian dan jawatankuasa sesebuah persatuan,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda ke-71 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini hari ini.
Yang turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz bertitah, dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia, hubungan sosial antara kaum adalah amat penting kerana ia akan membangkitkan semangat memahami dan menghormati amalan agama dan budaya masing-masing.
Titah baginda, kesefahaman dan sifat saling menghormati antara satu sama lain akan lebih menjamin ketenteraman dan masyarakat yang bersatu-padu.
“Ingatlah semula cogan kata yang ada pada Jata Negara iaitu Bersekutu Bertambah Mutu, Unity Is Strength.
“Beta berharap agar semua ini diberi lebih galakan dan dipergiatkan lagi,” titah baginda.











