LONDON – Chelsea terdesak untuk melengkapkan perpindahan Gonzalo Higuain secepat mungkin agar dia dapat diturunkan menentang Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga England di Stadium Stamford Bridge awal pagi Jumaat ini.
Higuain, 31, dikatakan sudah mendapat kebenaran untuk ‘terbang’ ke London semalam bagi menjalani ujian perubatan sebelum menyertai The Blues secara pinjaman hingga tamat musim ini.
Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menganggap Higuain yang kini beraksi secara pinjaman dengan AC Milan daripada Juventus, merupakan jawapan kepada krisis bahagian serangannya ketika ini.
Bekas pengendali Napoli itu sudah mencuba beberapa cara seperti menggunakan pemain sayap, Eden Hazard beraksi sebagai penyerang tengah tetapi ia tidak menjadi seperti tewas 0-2 kepada Arsenal pada aksi Liga Perdana England baru-baru ini.
Dua penyerang sedia ada iaitu Olivier Giroud tidak berada dalam perancangan Sarri manakala Alvaro Morata semakin hampir untuk menyertai Atletico Madrid dalam bulan ini.
Disebabkan itu, Sarri dikatakan sedang mendesak pihak pengurusan Chelsea untuk melengkapkan perpindahan Higuain sebelum petang ini agar membolehkan namanya disenaraikan dalam perlawanan menentang Spurs awal pagi esok.
Kehadiran Higuain mungkin dapat membantu The Blues mengubah kedudukan selepas tewas 0-1 kepada Spurs sewaktu aksi separuh akhir pertama di Stadium Wembley pada 9 Januari lalu.
Jika urusan tersebut mengambil sedikit masa tidak sempat, Chelsea mungkin akan menurunkan bekas penyerang Argentina dan Real Madrid itu ketika menentang Sheffield Wednesday dalam pusingan keempat Piala FA, Ahad ini. – Agensi










