JOHOR BAHRU 4 Jan. – Perbuatan melaga-lagakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Sultan Johor adalah suatu perbuatan yang kurang beradab dan tidak sewajarnya dilakukan.
Ketua Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, tindakan pihak tertentu itu yang menimbulkan isu kononnya Mahathir akan berusaha menghalang pelantikan Sultan Johor sebagai Yang Di-pertuan Agong perlu dihentikan.
“Isu ini yang tular dalam media sosial sejak semalam, amat menghairankan kerana turut melibatkan Majlis Raja-raja.
“Dakwaan terhadap Tun Dr. Mahathir seolah-olah memperlihatkan Perdana Menteri seorang yang kurang bijaksana dan pemimpin yang lemah.
“Sepatutnya kita mewujudkan suasana yang harmoni antara kedua-dua pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tahu apa yang perlu baginda lakukan seandainya dipilih sebagai Yang Di-pertuan Agong.
Justeru, PPJ berharap kerajaan memberikan penjelasan segera isu ini. – UTUSAN ONLINE








