Hanya kerana RM10, tiga beradik didakwa lakukan samun - Utusan Malaysia

Hanya kerana RM10, tiga beradik didakwa lakukan samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Sesyen di sini hari ini apabila tiga beradik didakwa menyamun wang RM10 milik jiran mereka pada awal bulan ini. 

Tertuduh yang masing-masing berumur 22, 21 dan 13 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam keadaan tersedu-sedan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan samun berkawan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun, dengan merampas wang tunai milik mangsa berjumlah RM10.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3 petang, di sebuah rumah di Taman Ayer Keroh Height,  di sini pada 10 Januari 2019.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan bagi setiap tertuduh. 

Ketiga-tiga beradik yang tidak diwakili peguam itu bagaimanapun berulang kali menyebut mereka tidak mempunyai wang dalam keadaan menangis ketika membuat rayuan. 

Turut sama merasai kesedihan itu ialah ahli keluarga tertuduh, beberapa tertuduh lain serta kakitangan mahkamah. 

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 selain menetapkan 25 Febuari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×