Fenomena troll Najib manifestasi kemarahan rakyat - Utusan Malaysia

Fenomena troll Najib manifestasi kemarahan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Kejayaan troll bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media sosial merupakan manifestasi kepada kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

MAZLAN ALI
MAZLAN ALI 

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali mendakwa kerajaan PH kini lambat bertindak terutama meli­batkan isu-isu orang Melayu dan perkara ini menyebabkan mereka bertindak meluahkan rasa marah dengan menyokong segala troll Najib.

“Kelebihan Najib adalah beliau sentiasa nampak tenang walaupun sebelum ini beliau berdepan dengan pelbagai tekanan dan kecaman. Perubahan trend semasa memperlihatkan rakyat kembali menyokong beliau ada kaitan dengan usaha yang telah dilakukan terutama dalam segmen membela rakyat.

“Saya merasakan populariti Najib naik dalam kalangan orang Melayu sahaja kerana orang Cina dan India melihat kerajaan PH masih rea­listik kerana ketika ini banyak perkara yang dilakukan memihak kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

SYED AGIL ALSAGOFF
SYED AGIL ALSAGOFF 

Sementara itu, Pensyarah Ka­nan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Syed Alsagoff melihat troll Najib perkara bia­sa dalam politik supaya wujud situasi semak imbang antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, troll Na­jib walaupun bermaklumat dan fakta kuat namun tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk bahawa rakyat sudah kembali menyokong beliau atau BN.

“Troll ini boleh diumpamakan sebagai kritikan membina daripada Najib, dalam hal ini kerajaan tidak sepatutnya cepat melenting dan perlu mengambil positif atas apa yang diperkatakan. Budaya seperti ini bukan suatu fenomena tetapi sebalik­nya sudah menjadi amalan biasa di negara-negara barat seperti di England,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN