BRIGHTON 13 Jan. – Pengulas program televisyen Match Of The Day, Ian Wright menghamburkan pujian terhadap Fabinho selepas Liverpool menewaskan Brighton yang menyaksikan Reds kini berkelebihan tujuh mata di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.
Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan pasukannya setelah Liverpool dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Kevin Friends di Stadium Amex dan kejayaan tersebut membuktikan skuad bimbingan Jurgen Klopp mampu bangkit selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Dengan Joe Gomez, Dejan Lovren dan Joel Matip terpaksa diketepikan akibat kecederaan, Klopp mengambil risiko menurunkan pemain tengah, Fabinho selaku bek tengah untuk digandingkan bersama Virgil van Dijk.
Namun, tiada siapapun yang menyangka pemain antarabangsa Brazil itu berjaya membuat Brighton terdiam sepanjang perlawanan. Seagulls menamatkan aksi tanpa melakukan sebarang percubaan tepat ke pintu gol.
“Fabinho berjaya membuktikan dirinya memiliki bakat semula jadi sebagai pemain pertahanan. Glenn Murray telah berusaha sedaya yang boleh, dia cuba bersaing dengan Fabinho.
“Dia memastikan dirinya berada di posisi yang membolehkan dia menyelamatkan percubaan berbahaya. Dia kelihatan cukup tenang dalam apa juga situasi. Seperti yang Chris Hughton katakan, mereka berjaya mencipta peluang, tetapi tidak sebenarnya. Mereka gagal menyempurnakan walau satu percubaan ke pintu gol, hari ini (semalam),” kata Wright.
Tekanan kembali digalas pencabar terdekat Liverpool iaitu Manchester City yang hanya akan beraksi menentang Wolves, Selasa ini.
Sementara itu, Klopp berkata, anak-anak buahnya perlu meneruskan rentak kemenangan dan tidak boleh mencatat keputusan seri apatah lagi kalah.
“Kami perlu membiasakan diri dengan kemenangan. Anda tidak boleh seri atau kalah, di sini, jadi anda memerlukan detik seperti ini, tetapi anda perlu bekerja keras dan mengorak langkah demi langkah,” katanya. – AGENSI











