KUALA LUMPUR 6 Jan.- Sebanyak 18 suspek warga asing dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah.
Ini termasuk tujuh suspek baharu iaitu Salip Mura; Sibih Pisih; Titing Alihasan @ Iyot Panday; Roger Saji; Long Sahirin; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw dan Ben Tatoh.
Difahamkan, Salip dan Sibih adalah pemimpin Abu Sayyaf yang bergiat aktif dalam aktiviti culik untuk wang tebusan di perairan timur Sabah.
Turut disenaraikan adalah Idang Susukan @ Abu Jihad yang dipercayai terlibat dalam penculikan warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang maut selepas kepalanya dipenggal kumpulan militan Abu Sayaf di Selatan Filipina pada 2015.
Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua individu tersebut dikehendaki bagi membantu pasukan keselamatan khususnya Esscom menyelesaikan beberapa kes jenayah rentas sempadan di perairan timur Sabah sepanjang tahun lepas.
Menurut beliau, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada Esscom dan pasukan keselamatan.
“Ini bagi membolehkan kita mengesan kedudukan mereka termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.
“Senarai itu hasil kemas kini dan siasatan dijalankan pihaknya serta pengesahan daripada pasukan keselamatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, jelas Hazani, sejak Januari 2016, sebanyak 45 suspek dikehendaki Esscom dan daripada jumlah itu, 29 nama telah dikeluarkan kerana ditembak mati atau menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Esscom di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 019-230 5909 atau balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN ONLINE










