JOHOR BAHRU 22 Jan. – Seorang gelandangan menggosok-gosok matanya yang berpinar-pinar kerana dikejutkan ketika tidur nyenyak pada awal dinihari di bandar raya ini.
Seorang lelaki yang mengejutkannya tadi, tiba-tiba mengucapkan salam dan menghulurkan makanan sambil tersenyum sambil meminta maaf kerana mengganggu lenanya sebentar tadi.
Gelandangan itu mengambilnya sambil mengucapkan terima kasih dan sebelum lelaki yang memberinya makanan beredar, gelandangan itu sempat bertanya kenapa memberikan makanan dan adakah mewakili mana-mana persatuan agama atau sosial?
Itu adalah antara situasi yang berlaku semasa enam sahabat berusia antara 25 dan 30 tahun yang berbeza latar belakang mengambil inisiatif untuk berpadu tenaga menjalankan program amal kepada gelandangan yang berada di bandar raya ini.
Hasil usaha sendiri termasuk mengumpulkan dana dan menyediakan makanan kepada golongan itu, mereka turut mengajak kira-kira 17 lagi rakan menyertai kerja amal itu bagi mengedarkan pek makanan kepada gelandangan terbabit.
Menurut wakil kumpulan itu, Amin Razak, 31, mereka tidak bernaung di bawah mana-mana badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program tersebut, sebaliknya timbul kesedaran sendiri untuk membantu golongan tidak berumah berkenaan.
Katanya, itu kali kedua mereka menjayakan program memberi makanan kepada gelandangan di Johor Bahru selepas program sama dijayakan sebelum ini.
“Kami berenam mengeluarkan modal sendiri untuk menyediakan makanan kepada golongan gelandangan, malah turut mengajak kenalan lain yang mahu turut serta membungkus serta mengedar pek makanan.
“Pada program kali ini, kami menyediakan 300 bungkus nasi berlauk, bihun goreng, air mineral, air kotak, kuih dan buah-buahan,” katanya ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Amin, program tersebut bermula pukul 12.30 tengah malam di Jalan Wong Ah Fook sebelum berakhir kira-kira empat jam kemudian dengan menyasarkan lokasi utama di sekitar bandar raya.
“Pada masa sama, kami mahu mengajak golongan muda untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan tanpa perlu menunggu digerakkan mana-mana pihak selain boleh mengetahui masalah yang menimpa golongan gelandangan ini.
“Program kesukarelawanan ini mampu memupuk jati diri selain menginsafi apabila melihat nasib orang lain yang serba kekurangan dan tidak mustahil kami akan teruskan pada masa depan memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan,” ujarnya.










