PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan tidak tahu sama ada kontrak kepada
kontraktor utama, China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sudah ditamatkan atau tidak.
Perdana Menteri berkata, beliau baru pulang dari lawatan kerja di luar negara dan tidak tahu mengenai penamatan kontrak berkenaan.
“Saya tidak tahu dah tamat (kontrak) atau tidak, tapi salah satu cara kita menangani masalah ini ialah dengan menamatkan kontrak tapi bila kita tamatkan kontrak kita kena bayar pampasan.
“Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan The Edge Markets pada Jumaat lalu yang mendakwa kerajaan telah membatalkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan yang diberikan kepada CCCC.
Pada 8 Julai tahun lalu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa ECRL hanya akan dilaksanakan sekiranya CCCC bersetuju menurunkan kos secara signifikan memandangkan ia dijangka memakan belanja sebanyak RM81 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.
Terdahulu, CCCC menerusi kenyataan media pada 4 Julai tahun lepas menjelaskan bahawa semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.
Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
Dr. Mahathir pada 22 Oktober lalu dilaporkan berkata, keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion.
Beliau dipetik berkata, antara projek yang dibatalkan merangkumi ECRL, Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HCR). – K! ONLINE











