KUALA LANGAT 4 Jan. – Sebanyak dua premis makanan berkeadaan amat meloyakan dan menjijikkan diarah tutup oleh penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Pengarah Penguat Kuasa MDKL, Nordila Yasir berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas operasi pemeriksaan premis-premis makanan di sekitar Banting dekat sini.
“Dua premis menjual makanan di bandar Banting diarahkan tutup serta merta kerana didapati telah melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan. Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah tidak memakai apron dan penutup kepala di bawah Seksyen 8(5) Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007.
“Peniaga terbabit juga tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan dan minyak terus masuk ke dalam longkang yang melanggar Seksyen 19 (1) (d) Undang-undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007,” katanya selepas operasi, di sini baru-baru ini.
Nordila menambah, peniaga yang tidak menyelenggara premis dalam keadaan baik dan bersih pada setiap masa di bawah Seksyen 15 Undang-undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 tersebut diarahkan melakukan tindakan pembersihan serta-merta.
Katanya lagi, kedua-dua premis makanan tersebut disita di bawah Undang-undang Kecil 62 dan pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti yang telah diarahkan.
“Selain itu, sepanjang pemeriksaan, terdapat juga peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan lain seperti mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah Undang-undang Kecil 7, Undang-undang Kecil Iklan, tiada lesen perniagaan di bawah Undang-undang Kecil 3, Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian dan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan di bawah Undang-undang Kecil 4, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap” ujarnya.
Pemeriksaan melibatkan 16 anggota Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perbendaharaan serta Unit Korporat dan Perhubungan Awam MDKL. – UTUSAN ONLINE








