Dua lelaki langgar anggota polis ditahan - Utusan Malaysia

Dua lelaki langgar anggota polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 23 Jan. – Dua lelaki ditahan selepas kereta yang mereka naiki melanggar seorang anggota polis trafik ketika cuba lari dari sekatan jalan raya di Kilometer 3, Jalan Pantai di sini semalam.

Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed, lelaki berusia 42 tahun yang juga merupakan penumpang kereta ditahan sejurus kejadian, manakala pemandu berumur 39 tahun menyerah diri kepada polis pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna kelabu datang dari arah Telok Kemang menghala ke bandar Port Dickson.

“Bagaimanapun, apabila menyedari sekatan jalan raya oleh pihak polis, kenderaan itu membuat pusingan U secara tiba-tiba di simpang masuk Hotel Sunshine Bay.

“Seorang anggota trafik berlari cuba mengejar kereta tersebut, namun suspek bertindak memecut kenderaan itu lalu melanggar anggota polis terbabit.

“Mangsa yang cedera ringan di bahu sempat bergayut di bonet hadapan kereta yang mengheretnya sejauh kira-kira 20 meter sebelum dia melompat dari kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, seorang anggota polis lain yang berada di lokasi kejadian mengejar kereta suspek menggunakan motosikal peronda sejauh satu kilometer sebelum kereta itu terbabas.

“Polis telah menahan penumpang kereta di lokasi kejadian namun pemandu berjaya melepaskan diri. Bagaimanapun dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini,” katanya.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek dilaporkan hilang di Seremban pada Isnin lalu.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN