KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara semalam untuk menangkap gamat secara haram.
Kapal Maritim Bagahak yang sedang membuat rondaan di perairan terbabit telah terserempak dengan kedua-dua bot nelayan asing itu pada pukul 12.20 tengah hari.
Pengarah Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kedua-dua bot nelayan Vietnam itu ditahan pasukan penguat kuasa APMM pada kedudukan kira-kira 50 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman dekat sini.
“Kesemua 13 nelayan termasuk dua tekong warga Vietnam yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 48 tahun telah berjaya ditahan.
“Sebanyak 50 kilogram gamat yang dipercayai ditangkap secara haram di perairan negara ini turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kemaman di Kuala Kemaman dekat sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain tidak memiliki permit daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap hasil laut di perairan negara. – K! ONLINE











