SUBANG JAYA – Penyanyi berkumpulan wanita popular DeFam menjadi artis yang akan menggantikan penyanyi Altimet bagi lagu Bunga yang layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada 3 Februari depan.
Penggantian itu berlaku berikutan keputusan diambil Altimet untuk bersara daripada menjadi seorang penyanyi seiring usianya yang menjengah 40 tahun pada November tahun lalu.
Menurut DeFam, pemilihan mereka sebagai penyanyi gantian dibuat sendiri oleh Altimet sekitar hujung tahun lalu.
“Seperti yang kami tahu, Altimet sendiri yang memilih kami untuk membawakan lagu Bunga kerana katanya, tiada mana-mana artis yang boleh membawakan lagu itu selain DeFam. Jadi kami sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh beliau.
“Sejujurnya perasaan kami bercampur baur antara teruja dan gementar sebab ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul di bahu kami. Tambahan pula AJL adalah pentas yang sangat besar, jadi ia bukan satu kerja yang mudah,” ujar DeFam ketika ditemui pada sesi temu bual khas di Hotel Empire, Subang, Selangor sebentar tadi.
Meskipun mengakui lagu Bunga memberi cabaran tersendiri kerana mereka bukanlah penyanyi rap, namun DeFam tetap menjanjikan kelainan menerusi persembahan pada malam penentuan yang dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil.
Selain Bunga yang merupakan ciptaan Omar K, John Jeevasingam dan Altimet sendiri, pentas AJL33 turut membariskan 11 lagi finalis iaitu Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah), Luluh (Khai Bahar), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Hajat (Hael Husaini), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman RA), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Kau Pun Sama (Syamel) dan Bunga (Ara Johari). – K! ONLINE










