KUALA LUMPUR 7 Jan. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam proses menyediakan ‘micro housing’ untuk golongan B40 yang masih bujang dan bekerja di sekitar ibu kota bagi meringankan beban sara hidup. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, anggaran sewa yang bakal dikenakan kepada golongan tersebut adalah kira-kira RM 100 sebulan. “Kami telah mengenal pasti tempat yang sesuai untuk dijadikan ‘micro housing’ iaitu di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bangunan milik DBKL yang mempunyai dua blok dan mampu menampung kira-kira 200 orang itu akan diubahsuai seperti capsul hotel. “Projek yang menelan kos perbelanjaan kurang RM10 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini. Inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha DBKL yang peka terhadap masalah penduduk Kuala Lumpur,” katanya dalam wawancara sempena 100 hari menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE.










