SEREMBAN – Dapur dan stor tempat penyimpanan kotak restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) City Park dekat sini terbakar kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.50 pagi.
“Seramai tiga pegawai dan 14 anggota bersama beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikerahkan memberi bantuan.
“Mereka tiba di lokasi kejadian dalam tempoh seminit dan berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran itu 30 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, tiada pelanggan dalam premia tersebut sewaktu kejadian dan seramai 10 pekerja restoran itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, punca kebakaran dapur dan stor restoran makanan segera KFC tersebut masih dalam siasatan.
“Nilai kerugian juga masih dalam siasatan. Restoran KFC ini diarah tutup sementara sehingga siasatan selesai,” katanya. – K! ONLINE










