PUTRAJAYA 25 Jan. – Dakwaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa kadar hutang Kerajaan Negeri Pahang sehingga 31 Disember tahun lalu adalah RM760 juta disifatkan sebagai tidak berasas.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, kerajaan negeri tersebut tetap berhutang sebanyak RM3.178 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.
“Penyata Kewangan dan rekod Jabatan Akauntan Negara sejak 2014 membuktikan Kerajaan Negeri Pahang merupakan penghutang yang paling besar di seluruh Malaysia. Tahun 2018 atau 2019 bukanlah kali pertama Pahang menjadi kerajaan negeri dengan jumlah hutang paling besar di antara semua kerajaan negeri di Malaysia.
“Pada hakikatnya, Pahang telah menjadi jaguh hutang yang terbesar sejak tahun 2014, melebihi negeri-negeri lain. Malah hutang Kerajaan Negeri Pahang bukanlah RM 760 Juta pada hari ini ataupun pada tahun 2014, tetapi sudah mencecah RM2.801 bilion sejak tahun itu lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng menegaskan, jumlah hutang yang tinggi berkenaan telah pun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara.
“Adakah Menteri Besar Pahang hendak mempersoalkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2014 sehingga laporannya yang terkini untuk tahun 2017?
“Sungguhpun sudah mempunyai paras hutang yang begitu tinggi sejak 2014, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pemerintah pada masa itu tidak pernah dipersalahkan dan tidak diminta menyelesaikan masalah hutang Kerajaan Negeri,” katanya.
Pada masa sama, kata beliau, rekod kewangan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang secara berterusan mengeluarkan belanja lebih daripada hasil yang diterima atau belanjawan defisit pada setiap tahun dari tahun 2014.
Belanjawan defisit secara berturut-turut itu tambahnya, tidak memberikan keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk menjalankan pembangunan dengan baik.
“Wan Rosdy cuba menidakkan fakta ini dengan mengalih tanggungjawab hutang Kerajaan Negeri, yang pada paras tertinggi, dengan mempersalahkan Kerajaan Persekutuan. Sedangkan sejak 2014 lagi, hutang Pahang kian meningkat,” katanya.
Menurut Guan Eng, Laporan Jabatan Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang untuk 2017 juga merumuskan bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang kurang stabil.
Sehubungan itu, kata beliau, Jabatan Audit Negara telah menyarankan agar kerajaan negeri tersebut mengambil langkah-langkah untuk memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Ini termasuk mengamalkan perbelanjaan berhemat selain melakukan usaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri supaya sumber pendapatan dapat menampung perbelanjaan mengurus dan tanggungan semasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE











