TAIPING – Ratusan kilogram dadah dipercayai jenis syabu dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam satu operasi di Hentian Taiping di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara di sini semalam.
Difahamkan, treler membawa kontena tersebut ditahan melalui sekatan jalan raya di hentian berkenaan dengan kerjasama polis Peronda Lebuh Raya pada pukul 4 petang.
Menurut sumber, sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman terlebih dahulu mengekori treler berkenaan selepas risikan mereka percayai ia membawa muatan dadah.
Katanya, mereka kemudian meminta unit Peronda Lebuh Raya untuk menahan treler itu sebelum membuat penutupan jalan di Kilometer 212 PLUS arah utara.
“Pemeriksaan di dalam kontena tersebut mendapati terdapat beberapa kotak yang mengandungi dadah dipercayai syabu yang dianggarkan mempunyai berat 500 kilogram.
“Treler itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik, Asisten Komisioner V.R. Ravi Chandran ketika dihubungi mengesahkan rampasan tersebut namun sidang akhbar berkaitannya akan dibuat oleh Bukit Aman nanti. – K! ONLINE










