MANCHESTER 27 Jan. – Pep Guardiola memuji mentaliti yang ditunjukkan pemain Manchester City selepas pasukan itu melangkah ke pusingan kelima Piala FA dengan melakar kemenangan kelapan berturut-turut.
Skuad The Citizens membenam Burnley 5-0 di Stadium Etihad, dan meledak 29 gol tanpa bolos dalam lapan aksi terakhir (semua pertandingan), sekali gus menjadi pasukan paling digeruni di England ketika ini.
Guardiola percaya, pasukannya menunjukkan keinginan tinggi untuk merangkul semua trofi yang ditawarkan musim ini.
“Menang lapan perlawanan berturut-turut bulan ini adalah sesuatu yang hebat.
“Apa yang boleh saya katakan, kami ia tidak pernah mencatat kemenangan mudah, sekali pun jika berdepan pasukan dari liga bawahan.
“Apa yang membuatkan saya amat gembira, semua pemain terlibat dalam setiap kemenangan yang kami raih bulan ini. Mereka menunjukkan keinginan tinggi tidak kira dalam Piala FA, Liga Juara-Juara, Liga Perdana mahu pun Piala Liga.
“Sekarang baru saya faham, jika kamu mahu meraih keputusan terbaik, semua pemain harus dilibatkan,” katanya.
Dalam aksi semalam, City menampilkan penjaring berbeza dalam lima gol yang diperoleh. Gabriel Jesus meledak gol pembukaan, sebelum Bernardo Silva dan Kevin de Bruyne menjadikan kedudukan 3-0.
Gol sendiri Kevin Long pada minit ke-73 membolehkan City meraih jaringan keempat manakala Sergio Aguero melengkapkan kemenangan 5-0 tuan rumah. – AGENSI










