Cengkih ubah hidup Norain - Utusan Malaysia

Cengkih ubah hidup Norain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAIS pagi makan pagi dan kais petang makan petang, itulah yang dirasai Norain Ngah, 30, sebelum dia tekad keluar daripada kepompong kemiskinan dan bergelar usahawan. Asalnya dia hanya seorang suri rumah manakala suaminya hanya peniaga di pasar malam.

“Saya tidak pernah merungut malah bersyukur dengan rezeki yang Allah beri. Tetapi berfikir sampai bila harus hidup begini sedangkan saya mahu hidup senang seperti orang lain. Kemudian, saya belajar dan cari ilmu kerana tahu kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha,” katanya.

Menurut usahawan kecantikan ini, dia mahu membuktikan tanpa ijazah, dia mampu berjaya jika berazam tinggi dan berusaha.

“Saya sendiri hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sijil atau ijazah tidak menjanjikan apa-apa jika tiada usaha dan keazaman.

“Kejayaan seseorang tidak boleh diukur dengan segulung ijazah. Bagi saya selagi seseorang punya usaha dan tidak kenal erti putus asa, dia layak untuk berjaya,” katanya.

Jauh di sudut hatinya sedih melihat suami bekerja siang malam untuk mencari rezeki dan ada ketikanya tidak pulang ke rumah. Lebih memedihkan hatinya, suami terpaksa tidur di tapak pasar malam untuk berniaga pada hari berikutnya.

Keperitan hidup itu membuatkan Norain tekad untuk mengubah nasib keluarganya dengan berniaga. Segala bermula apabila dia memenuhi permintaan rakan-rakan dengan menjual produk lulur berasaskan cengkih yang menjadi amalan kecantikan keluarganya turun-temurun. Dikenali sebagai Super Scrub Beauty (SBB), siapa sangka produk herba itu telah mengubah hidupnya.

Daripada tinggal di rumah flat, Norain dan keluarga bakal berpindah ke rumah banglo selain mampu memandu kereta mewah dan memiliki beberapa kereta lagi. Malah dia yang sebelum ini menjadi suri rumah sepenuh masa kini bergelar usahawan berjaya selain suaminya tidak lagi bekerja di pasar malam.

Menurut anak jati Kuala Terengganu ini, pada mulanya dia hanya menghasilkan 10 botol lulur yang mahu dicuba beberapa rakannya dengan hanya menggunakan mesin pengisar yang ada di rumah.

Tempahan semakin meningkat membuatkan Norain perlu membeli mesin pengisar industri yang lebih canggih selepas lima mesin pengisar biasa yang digunakannya pecah dan rosak.

Suami, Mohd. Fairul Nizam Abd Rashid, 34 kasihan melihat kesukaran Norain menguruskan tempahan seorang diri akhirnya nekad berhenti berniaga di pasar malam untuk membantunya mengembangkan perniagaan.

“Memang saya akui, perjalanan saya tidak mudah. Ketika itu kami tinggal di rumah flat di tingkat teratas iaitu tingkat empat. Apabila ada tempahan untuk dipos, saya akan turun naik tangga mengangkat bungkusan dengan empat anak kecil.

“Mujurlah suami sanggup membantu dan dia berhenti berniaga kerana melihat saya tidak berdaya menyiapkan tempahan seorang diri,” katanya.

Hari ini, Norain memiliki lebih 300 ejen di seluruh negara di bawah syarikatnya iaitu Ain Alieya Resources.

“Mula-mula ramai yang tanya apa rahsia badan langsing macam anak dara. Saya cuba jual set percubaan sekadar suka-suka dan ramai memuji ia berkesan dan ulang beli lagi.

“Akhirnya jualan saya pernah melebihi 10,000 unit hingga terpaksa menghasilkannya dengan menggunakan mesin pula berbanding mesin pengisar sebelum ini. Saya juga membuat pembungkusan baharu dengan bekas yang lebih cantik dan menarik untuk tarikan pelanggan,” katanya.

Ditanya tentang pengurusan masa antara perniagaan dan keluarga memandangkan dia dan suami sibuk, Norain tetap melakukan tugas ibu dengan menghantar anak-anak ke sekolah dan akan membawa mereka ke mana sahaja .

“Waktu kerja saya akan hadkan macam waktu pejabat iaitu lapan jam. Pagi sampai petang dan malam masa untuk anak-anak. Pada hujung minggu saya akan bawa mereka bersiar-siar. Saya dan suami masih didik anak-anak ikut cara orang lama. Masa belajar, mereka perlu fokus. Lebih penting mereka tidak tinggalkan solat dan perlu mengaji al-Quran. Kami akan pastikan solat berjemaah sekurang-kurangnya satu kali dalam sebulan. Saya akan pastikan anak-anak pandai berdikari. Contohnya, anak perempuan sulung pandai buat kerja rumah dan menjaga adik-adik,” katanya.

Baginya, kejayaan yang dikecapi kini bukan hasil usahanya seorang diri sebaliknya turut dibantu suami yang sanggup berkorban demi keluarga tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN