SUBANG JAYA – Seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh maut dihempap besi perancah dalam satu kejadian runtuhan bangunan di Taman HiTech Subang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, sewaktu kejadian, mangsa berusia 43 tahun baru selesai melakukan kerja-kerja pembinaan dan sedang bersedia untuk pulang.
“Mangsa bersama beberapa orang lagi rakan sekerja sedang melalui lantai di tingkat pertama bangunan tersebut sebelum ia runtuh.
“Susulan itu, mangsa kemudiannya tertimbus di bawah runtuhan yang merupakan besi perancah serta lantai simen yang masih belum kering,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Nurizham Mohd. Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 4.45 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai lima anggota beserta dua orang pegawai telah dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera.
“Mangsa berjaya ditemui pada pukul 5.42 dan setakat ini kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang giat dilakukan,”katanya.
Menurut Nurizham, Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) turut digerakkan ke lokasi kejadian.
“Punca kejadian dipercayai adalah disebabkan struktur bangunan yang masih belum kukuh.
“Akibat runtuhan tersebut mangsa telah terjatuh dari ketinggian 11 hingga 14 meter sebelum dihempap besi perancah serta simen yang masih belum kering,” katanya.
Difahamkan, bangunan berkenaan adalah sebuah gudang yang dalam proses pembinaan. – K! ONLINE










